Friday, 7 April 2017





Supreme, Jenama Yang Digilai

Supreme? Suatu nama yang agak janggal bagi masyarakat umum, tetapi jenama ini sangat popular dan menjadi pilihan anak muda masa kini. Lahir pada sekitar tahun 1994 di New York, Supreme merupakan sebuah jenama pakaian yang beridentitikan gaya hidup 'streetwear' dan 'skateboarding'. Brand 'subculture' ini aktif dalam menghasilkan pakaian dan aksesori fesyen, malah mereka juga mencipta papan luncur, yang akhirnya dijadikan koleksi dalam budaya seni moden.

Supreme diasaskan oleh James Jebbia, seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang menetap di England. Butik pakaian sulung Supreme telah dibuka di Lafayette Street pada tahun 1994. Yang menariknya, butik ini telah direka mengikut tema 'skateboarding', rak-rak pakaian disusun secara kreatif, malah pelan lantai juga diubahsuai secara unik dengan memberikan lebih ruang untuk mewujudkan atmosfera yang selesa kerana pada waktu itu, kebanyakan 'skater' akan membawa backpack kemana saja mereka pergi.




Berbeza dengan jenama pakaian lain, Supreme mengeluarkan semua koleksi produknya secara serentak seluruh dunia tetapi dalam kuantiti yang terhad. Setiap keluaran ini akan dipasarkan secara atas talian, juga di butik-butik mereka seperti di New York, Paris dan Tokyo. Jenama ini mempunyai bilangan pengumpul koleksi mereka yang tegar, dan yang menariknya, setiap produk Supreme mempunyai nilai jual yang tinggi sekiranya disimpan dalam tempoh yang lama. Remaja sanggup menghabiskan hampir ribuan ringgit untuk mendapatkan sehelai sweater yang mempunyai logo Supreme di dada.

Salah satu strategi unik Supreme ialah mereka akan mengeluarkan edisi baru pada hari Khamis setiap minggu tepat jam 11 pagi. Pendekatan ini telah membuatkan jenama ini berjaya mengekalkan 'hype' dan populariti mereka dalam jangka masa yang panjang. Setiap kali keluaran, lebih 300 orang beratur di luar butik Supreme seawal jam 9 pagi merupakan suatu pemandangan yang biasa, malah ada antara mereka yang sudah berkampung sehari sebelum hari keluaran.

Ternyata, Supreme merupakan sebuah jenama pakaian yang terus berjaya memberikan impak yang besar dan mempengaruhi gaya hidup sebilangan remaja pada hari ini. Pada tahun 2012, jumlah keuntungan Supreme telah dianggarkan mencecah 40 juta USD, suatu nilai yang tinggi bagi sebuah jenama yang mula bergerak secara 'indie'. Kejayaan seperti ini diharap dapat menjadi inspirasi bagi pendokong jenama-jenama pakaian tempatan di Malaysia, setidak-tidaknya membawa industri pakaian jalanan ini berada di tahap yang boleh dibanggakan.


No comments:

Post a Comment

Supreme, Jenama Yang Digilai Supreme? Suatu nama yang agak janggal bagi masyarakat umum, tetapi jenama ini sangat popular dan...